cacatan diari-bersih10nov07-100,000


10.30 pg.

Kami tiba di Masjid Jamek tanpa sebarang masalah. Namun, melihat kepada suasana Masjid yang dikawal oleh FRU, kami merayau seketika di kawasan sekitar masjid. Setelah terasa lapar, kami mengambil kesempatan yang ada untuk menjamu selera di kedai mamak berhampiran. Tanpa dirancang, kaki kami terus melangkah hingga ke KOMPLEK PERTAMA dan seterusnya ke SOGO. Ah, alang-alang dah sampai ke SOGO dan waktu yang ada masih berbaki kurang lebih 4 jam lagi untuk masa berhimpun yang ditetapkan di Masjid Jamek, kami merayau-rayau seketika di situ. Suasana agak tenang, unit Amal Malaysia beratur setia di hadapan bangunan yang tersergam itu tanpa mempedulikan polis-polis yang sedang memerhatikan gelagat mereka. Ramai juga orang awam yang berada di sekitar bangunan tersebut. Dan kami agak pasti, mereka juga sedang menunggu waktu yang bersejarah itu.

1.15ptg.


Kami mengambil keputusan untuk solat Zohor di komplek SOGO. Kaki pun dah rasa kepenatan berjalan pusing KL hari ni. Lagipun masa pun masih agak awal untuk ke Masjid Jamek dalam keadaan begini. Allahu Akbar, surau di Kompleks SOGO penuh sesak dengan orang ramai. Masing-masing ingin mengambil kesempatan solat di awal waktu. Bahkan ada juga yang terpaksa menunaikan solat di ruang legar lif bangunan sampai berkali-kali jemaah solat berganti. Subhanallah. Tatkala itu, orang lain sibuk membeli belah di bahagian atas SOGO. Indahnya Syariat Islam.

2.00 ptg


Setelah selesai menunaikan tuntutan Ilahi, kami meneruskan tuntutan demokrasi pula. Menuntut keadilan dalam Pilihan Raya Umum nanti. Sebaik sahaja kami keluar dari bangunan pencakar langit itu, kelihatan kelibatan segerombolan manusia berbaju kuning menuju ke arah kompleks SOGO. Dengan diiringi Unit Amal Malaysia, beberapa orang pimpinan PAS dan juga NGO yang lain seperti Ust Ahmad Awang, Naib Presiden PAS, Ust. Nasharuddin Tantawi, Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ust Riduan Mad Nor, Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Nik Mohamad Abduh, Ust Nor Azli Taliban, Ust Kamal Asyaari, Ust. Abu Bakar Chik dan beberapa pimpinan lain kelihatan memimpin himpunan aman ini. Suasana tenang pada mulanya bertukar wajah. Orang ramai mula mengenakan pakaian kuning. Seluruh ceruk bangunan manusia mula berkumpul dari dalam dan luar SOGO. Sekelip mata gelombang kuning mewarnai SOGO. Kompleks SOGO ditutup sementara. Mungkin mereka bimbang berlaku sebarang rusuhan agaknya. Kami sekadar menduga. Taujihad pimpinan dimulakan oleh Ustaz Ridhuan, yang sememangnya telah dikenali ramai sebagai `Kaki Demostrasi`. Unit Amal bertugas untuk mengawasi pimpinan dan peserta. Polis hanya memerhati setiap gelagat para peserta perhimpunan aman ini tanpa bertindak semberono. Setelah diakhiri dengan bacaan doa, seluruh warga perhimpunan mula bergerak keluar dari perkarangan SOGO melewati hentian monorel SOGO menuju ke Istana Negara sambil melaungkan kata-kata keramat.

Hidup! Hidup! Hidup Rakyat!…Aman! Aman! Aman Rakyat!… Tenang! Tenang! Polis Tenang! Kami Rakyat! Orang Raja! ……Takbir! Allahu Akhbar!…

Rintik-rintik hujan mula kelihatan, seakan turut bersama kami menuntut keadilan rakyat ini. Kami meneruskan perjalanan dengan semangat yang lebih membara untuk menuntut keadilan. Tiba di hadapan persimpangan Dataran Merdeka. Kelihatan kenderaan FRU meluncur laju melewati barisan hadapan rombongan. Mujur tiada halangan. Para pimpinan memimpin seluruh warga perhimpunan mara ke hadapan melewati DBKL dengan diiringi petugas-petugas Unit Amal. Hujan mulai lebat, orang ramai terus mara ke Masjid Negara. Rupanya FRU ke Masjid Jamek..menyuraikan segerombolan peserta perarakan lain di sana. Tak dapat dibayangkan jika dapat digabungkan tadi. Gegak gempita bandaraya KL.

Rupanya lagi ramai penyokong di Masjid Negara menanti. Kami berhenti seketika di seberang jalan. Menanti penggabungan. Di hadapan Masjid Negara, FRU berpadu tenaga mengawasi kumpulan di dalam Masjid Negara dan terus menghalang mereka daripada keluar. Namun, akhirnya FRU terpaksa membenarkan juga peserta keluar dari perkarangan Masjid Negara untuk menyertai perarakan utama.

Kalimah Allahu Akhbar! Terus bergema. Kenderaaan-kenderaan di laluan bertentangan turut memberikan sokongan. Hon dibunyikan sebagai tanda menyatakan sokongan mereka kepada kumpulan perarakan. Pelbagai bangsa dan kaum terlibat samada secara langsung atau tidak, sebagai peserta perhimpunan atau pun sebagai pemandu-pemandu kenderaaan di kiri kanan jalan raya. Sungguh aman dan bersih.

Tidak banyak kain rentang yang dibawa semasa perhimpunan tersebut. Namun yang menariknya ialah kain rentang yang kami bawa adalah antara salah satu daripadanya. Memang kain rentang kami menjadi tumpuan ketika itu. Ada-ada saja orang yang ingin merakamkan kenangan bersejarah ini dengan berlatar belakangkan kain rentang kami, Rasanya SB pun ada yang ambil gambar. Begitu juga dengan para peserta perhimpunan ataupun dari para pemandu kenderaan yang sedikit kagum dengan suasana yang ada. Mereka baca dan amati kain rentang itu dan mengukir senyuman tanda faham dan setuju.

Perarakan sudah 20 minit melepasi Masjid Negara. Sesekali kami menoleh ke belakang dan lihat kebawah fly over. Ah, rupanya ada lagi kumpulan perarakan yang bergerak mara ke arah kumpulan utama, kumpulan dari Pasar Seni agaknya.

3.00ptg.

Setibanya di perkarangan Istana Negara, kelihatan lautan manusia sejauh mata memandang di belakang. Kami yang berada di barisan hadapan berasa penuh kagum dengan jumlah yang sedemikian ramai orang. Ish, kalau dicampur dengan para perhimpun di Masjid Jamek mungkin haru-biru polis dibuatnya, kami berbisi-bisik sesama sendiri. Sebelum taujihad dimulakan, kami diarahkan untuk duduk bagi memudahkan lagi proses perhimpanan aman ini. Semua yang hadir pada ketika itu akur dengan arahan pimpinan. Namun, ada juga suara-suara sumbang yang mengeluh dan mencemuh arahan tersebut. Melihat kepada cara berpakaian dan lagak gaya mereka, kami pasti ia datang dari para provokasi SB yang telah diselinap masuk kedalam gerombolan tersebut. Taujihad dimulakan dengan ucapan yang diberikan oleh Mad Sabu, Naib Presiden PAS. Seterusnya disusuli pula oleh Ketua Pemuda PAS,YB Salahuddin Ayub, Mahfuz Omar dan Ust Nor Azli Taliban. FRU dan Polis lagak gaya macam `anjing kerajaan` dengan tegas menyekat peserta dari menghampiri pagar istana. Unit Amal berjaya menjalankan tanggungjawab dengan baik, dengan membuat satu benteng di hadapan para petugas FRU tersebut. Mimik muka mereka tak tumpah macam para petugas FRU tersebut, serius dan masam.

Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!..Kalimah keramat itu juga turut menjadi intonasi yang menarik pada hari itu. FRU nampaknya memberi kerjasama yang baik. Takut agaknya. Silap bertindak padah menanti FRU dan Polis. Begitu jugak dengan peserta perarakan, tenang di luar, tapi kencang di dalam.

Tenang! Tenang! Polis Tenang!…Aman! Aman! Rakyat Aman!..Polis Tenang!.Rakyat Aman!

Berkali-kali ucapan keramat itu dilaungkan bagi membangkitkan semangat para peserta perhimpunan dan menenangkan keadaan.

3.25 ptg

Dalam keamanan perhimpunan itu, kelihatan wakil BERSIH iaitu Datuk Seri Tuan Guru Abdul HAdi Awang, Presiden PAS, Datuk Seri Anuar Ibrahim, Penasihat Parti Keadilan Rakyat dan Lim Kit Siang, Presiden DAP berjalan keluar dari Istana Negara dan menuju ke arah kumpulan perhimpunan. Orang ramai yang berada di situ riuh seketika apabila melihat kelibat kedatangan pemimpin mereka datang dan terpaksa ditenangkan oleh Mad Sabu yang menjadi ketua perhimpunan. Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengambil kesempatan untuk memberi sedikit taujihad kepada para peserta perhimpunan dan diikuti pula ucapan daripada Datuk Seri Anuar Ibrahim. Mereka mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang sanggup berkorban datang dari jauh untuk merealisasikan perhimpunan aman BERSIH ini. Semua peserta perhimpunan berasa puas apabila dapat mendengar ucapan daripada para pimpinan mereka.

Kehadiran helikopter yang berlegar di ruang udara Istana Negara sedikit sebayak mengganggu kelancaran perhimpunan aman dan taujihad yang diberikan.

Kurang lebih jam menunjukkan pukul 3.45 petang, Ketua polis Dang Wangi dari atas jentera FRU, mula memberi amaran bahawa masa 5 minit diberikan untuk bersurai. Pada mulanya seolah-olah rakyat tidak mahu bergajak..namun akur dengan arahan pimpinan, Kami dengan rasa bangga dan girangnya berpusing dan mula bergerak meninggalkan istana Negara..girang..sedikit pun tidak rasa kerugian.

Jalan ! Jalan ! Jalan terusTenang! Tenang! Polis Tenang!…Aman! Aman! Rakyat Aman!..Polis Tenang!. Rakyat Aman!

4.40ptg

Para peserta perhimpunan aman BERSIH telah tiba di Masjid Negara dengan hati yang penuh kesyukuran kepada Allah kerana melancarkan perhimpunan ini dengan baik walaupun masih ada sedikit sebanyak gangguan daripada pihak FRU terutamanya di Masjid Jamek. Di kejauhan, kelihatan masih ramai lagi orang di sekitar masjid dan juga di atas fly over yang melihat kelibat kehadiran kami di situ. Mungkin mereka dari kalangan peserta perhimpuan yang tidak sempat mengikuti agenda penyerahan memorandum kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung di Istana Negara. Sesekali mereka melambai-lambai tangan ke arah kami dan sesekali ada juga yang masih mengambil peluang untuk merakamkan gambar kenangan hari yang bersejarah itu dan kami yang memegang kain rentang sememangnya tidak diabaikan oleh para peminat perhimpunan aman ini.

nizam-jitra

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: